ASSALAMUALAIKUM WARAHMATULLAHI WABARAKATUH..

SELAMAT MELAYARI LAMAN BLOG INI SEMOGA MENDAPAT MANFAAT DARIPADANYA...

Sunday, April 4, 2010

PENYELIDIKAN - PECS

PENYELIDIKAN

PELAKSANAAN PICTURE EXCHANGE COMMUNICATION SYSTEM (PECS) KEPADA KANAK-KANAK YANG MENGHADAPI MASALAH BAHASA DAN BERKOMUNIKASI

Nama Penulis

ZALEHA TAMBI ADAM
JABATAN PENDIDIKAN KHAS
IPG KAMPUS PEREMPUAN MELAYU





PENGENALAN

Penulisan saya ini bertujuan untuk berkongsi pengalaman dengan pembaca berkaitan dengan pengalaman saya melaksanakan PECS kepada seorang kanak-kanak di sebuah sekolah di Melaka. Berikut adalah sedutan daripada pengalaman yang telah saya lalui bersama kanak-kanak tersebut:

Terdapat sebilangan kanak-kanak di kelas bermasalah pembelajaran yang mengalami masalah bahasa dan komunikasi, sehingga ada di antara mereka yang suka mendiamkan diri. Malahan ada di antara kanak-kanak yang berkomunikasi dengan menarik tangan rakan-rakan, guru-guru dan ibu bapa sekiranya mereka memerlukan sesuatu, tanpa melihat dan membuat sebarang bunyi.

Salah satu cara untuk mengatasi masalah bahasa dan komunikasi dalam kalangan kanak-kanak bermasalah pembelajaran ialah dengan penggunaan Picture Exchange Communication System (PECS). Menurut Wallin (2004), PECS ialah sistem komunikasi augmentatif yang dibentuk untuk membantu individu memperolehi salah satu cara untuk berkomunikasi dengan orang lain. Manakala menurut Hallahan dan Kaufman (2006), PECS memungkinkan individu untuk membuat permintaan, memilih item-item, dan menyatakan perasaan dengan menggunakan kad-kad gambar sebagai pertukaran kepada komunikasi dalam kalangan kanak-kanak bermasalah pembelajaran. PECS pada mulanya dibina untuk murid-murid autisme, namun, program ini telah berjaya dilaksanakan kepada pelajar-pelajar yang mempunyai masalah pembelajaran yang signifikan. Program PECS menggabungkan kaedah tingkahlaku dan teknik pengajaran incidental untuk memperkembangkan komunikasi sosial kanak-kanak bermasalah pembelajaran.

Justeru itu, saya telah menjalankan satu kajian tindakan (Kajian Awal) untuk melihat sejauh mana pecs dapat meningkatkan keupayaan kemahiran berkomunikasi dalam kalangan kanak-kanak bermasalah pembelajaran. Kajian tindakan yang akan dilakukan ini adalah berpusatkan kepada dua variabel iaitu :

i. gambar manakah yang mudah difahami / atau dipilih oleh kanak-kanak untuk menggalakkan mereka bertindak balas
ii. mengenal pasti masalah-masalah yang dihadapi semasa melaksanakan PECS kepada kanak-kanak bermasalah pertuturan



REFLEKSI AWAL

Sebagai pensyarah Jabatan Pendidikan Khas di IPGM Kampus Perguruan Perempuan Melayu Melaka, saya ditugaskan untuk memantau pelajar-pelajar KPLI LPBS SR Bermasalah Pembelajaran di SK Air Molek, Melaka. Semasa sesi pemantauan, Guru Pelatih saya memberitahu bahawa terdapat beberapa orang kanak-kanak bermasalah pembelajaran di kelas mereka menghadapi masalah bahasa dan komunikasi. Kanak-kanak ini hanya mendiamkan diri dan tidak dapat berinteraksi dengan guru-guru dan rakan-rakan mereka yang lain. Mereka bertanyakan kepada saya apakah yang mereka perlu lakukan untuk memperbaiki amalan pengajaran dan pembelajaran mereka di bilik darjah.

Selain itu, sebagai pensyarah pendidikan khas, pengkaji dipertanggungjawabkan untuk memberi kuliah dalam mata pelajaran Pengenalan kepada Masalah Bahasa dan Komunikasi kepada Peserta Kursus KSPK Bermasalah Pembelajaran dan pelajar-pelajar PISMP Pendidikan Khas. Selain itu, pengkaji juga dipertanggungjawabkan untuk memberi kuliah kepada Peserta KPLI Pemulihan dalam Mata Pelajaran Strategi Pengajaran dan Pembelajaran Bahasa Melayu. Salah satu topik dalam mata pelajaran tersebut ialah Komunikasi Augmentatif dan Alternatif.

Komunikasi Augmentatif merujuk kepada kaedah atau cara dan alat yang digunakan sebagai penambahan yang diwujudkan dalam kemahiran berkomunikasi secara lisan (verbal). Manakala, Komunikasi Alternatif pula merujuk kepada teknik-teknik penggantian kepada komunikasi pertuturan kepada semua individu, iaiitu kepada sesiapa yang tidak berminat untuk memperkembangkan pertuturan dengan kemahiran berbahasa (McCormick dan Shane, 1990). Salah satu daripada Komunikasi Augmentatif dan Alternatif yang dicadangkan dalam sukatan pelajaran KSPK ialah PECS.

Oleh itu, sebagai seorang pensyarah, pengkaji perlu melakukan satu tindakan yang boleh memperkembangkan kemahiran guru-guru pelatih semasa mereka melaksanakan pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah, terutama teknik-teknik untuk berkomunikasi dengan kanak-kanak yang mengalami masalah bahasa dan komunikasi.

REKA BENTUK KAJIAN

Kajian Tindakan ini adalah berbentuk diskriptif di mana saya sendiri yang melaksanakan kajian terhadap kanak-kanak tersebut. Selain itu, kajian ini berbentuk kajian di bilik darjah dengan menggunakan model Kemmis dan Taggart (1992)








PELAKSANAAN TINDAKAN

Saya melaksanakan pengajaran dengan menggunakan PECS. Pelaksanaan kajian ini dilakukan dalam satu sesi pengajaran yang mengambil masa kira-kira sepuluh minit


Aktiviti Pengkaji

Pengkaji melaksanakan pengajaran PECS kepada Murid M

Langkah-Langkah untuk melaksanakan PECS

Saya telah menggunakan model pelaksanaan PECS yang dikemukakan oleh Hallahan & Kaufman (2003), yang telah memperincikan enam fasa untuk melaksanakan PECS. Berikut adalah fasa-fasa dalam pelaksanaan PECS tersebut.

Fasa 1:

Ajar murid secara spontan untuk menyatakan bahan atau aktiviti yang mereka perlukan dengan kad gambar. Murid membuat latihan dengan menggunakan satu kad pada satu-satu masa. Peneguhan serta merta apabila murid-murid dapat melaksanakan aktiviti.

Pelaksanaan pengkaji:

· Murid diajar untuk memilih gambar satu kad pada satu-satu masa– minum, dan makan,

· Latihan memilih gambar disertai dengan aktiviti perbuatan melakukan aktiviti tersebut, contoh minum, Murid M akan diberi air minuman dalam cawan . Untuk aktiviti makan, Murid M diberi makan sedikit roti untuk dimakan

Fasa 2:

Guru menambah perbendaharaan kata murid dengan menambah jumlah kad yang digunakan, tetapi masih mengunakan satu kad pada satu-satu masa.

Pelaksanaan Pengkaji:

· Pengkaji menambah dua lagi kad gambar iaitu basuh tangan, dan tandas

· Seperti dalam fasa satu, pengkaji meminta Murid M untuk aktiviti basuh tangan, Murid M diminta untuk membasuh tangan di sinki. Begitu juga untuk gambar tandas, murid diminta untuk ke tandas.

· Pelaksanaan dilakukan dengan menggunakan satu kad pada satu-satu masa

Fasa 3:

Guru mengajar murid untuk mendiskriminasi kad-kad gambar yang banyak untuk mengenal pasti kad yang diperlukan oleh murid dengan meletakkan beberapa kad gambar di papan hitam

Pelaksanaan Pengkaji:

· Setelah melaksanakan Fasa 1 dan 2, pengkaji seterusnya mengajar murid untuk mendiskriminasi empat gambar yang telah diajar.

· Murid M diminta memadan empat kad gambar yang telah diajar di atas meja

· Setelah itu, murid diminta memadan kad gambar dengan meletakkan kad gambar di dinding.

Fasa 4:

Guru mengajar struktur ayat asas kepada murid dengan menggunakan ayat, contoh Saya mahu ……………… (dipasangkan dengan gambar berdasarkan kehendak murid )

Fasa 5 dan 6:

Guru menambah perbendaharaan murid dengan kata sifat dan lain-lain perkataan, untuk menambah komunikasi murid.

Contoh: Saya dengar …………………….

Saya lihat …………………….

Aktiviti Murid:

Pemerhatian terhadap kebolehan dan keupayaan kanak-kanak bermasalah pembelajaran mengikuti pengajaran juga akan dilaksanakan. Tingkah laku kanak-kanak bermasalah pembelajaran tersebut telah dicatat.


Semoga kita dapat bertemu lagi dalam sesi lain, untuk membincangkan dapatan kajian saya ini.


Terima kasih.



Disediakan oleh,
ZALEHA TAMBI ADAM
JABATAN PENDIDIKAN KHAS
IPGM KAMPUS PEREMPUAN MELAYU